Kisah Dari Tanah Suci: Berkat sayang, muliakan kucing
Kisah ini mengenai seorang wanita
Muslimah Melayu berasal dari Perak yang menunaikan haji kira-kira enam tahun
lalu.
Wanita ini kerana sudah tua dan uzur, lutut pun lemah dan sentiasa sakit,
menggunakan kerusi roda semasa tawaf dan saie. Dia mengupah petugas Arab
menolaknya, tujuh kali pusingan tawaf dan tujuh kali berulang alik antara
Bukit Safa dan Marwah.
Beliau menunaikan tawaf rukun dan saie saja. Yang sunat tak mampu kerana uzur.
Lagi pun wangnya hanya cukup-cukup saja.
Namun, ada satu amalan mulia dimiliki Muslimah ini. Yakni mencontohi sunnah
Nabi s.a.w., mengasihani dan menyayangi kucing di desanya.
Dia amat suka memelihara kucing. Di rumahnya banyak kucing. Dia melayan makan
dan minum kucing. Dia pungut kucing yang dibuang orang, diberikan makan dan
minum, dirawat dan dimandikan dengan sabun wangi.
Walaupun banyak kucing jalanan itu lemah, sakit, kurus kering atau lumpuh,
tetap diambilnya untuk dirawat di rumahnya. Ada yang berkudis dan sakit serius.
Pendeknya rumahnya menjadi pusat kucing kurap.
Maka terkenallah rumahnya jadi pusat rawatan kucing. Mana-mana kucing yang
mati dikuburkan di kebunnya. Demikian begitu kasih Muslimah ini kepada makhluk
Allah yang lemah lembut itu.
Justeru, ada kucing-kucing peliharaannya manja, gemuk dan sihat, serta
cantik-cantik belaka, berkat khidmatnya, yang ikhlas.
Tahun itu beliau berangkat, menunaikan haji dengan menggunakan perkhidmatan
Tabung Haji. Gembira dan sayu nian kalbunya, kerana hajatnya untuk ke Tanah
Suci, solat di Masjidilharam dan melihat Baitullah di depan mata sudah
terkabul sudah.
Ingin di hatinya untuk tawaf banyak-banyak seperti orang muda dan sihat.
Tetapi apakan daya, lututnya sakit manakala badan uzur. Setelah solat fardu
sentiasalah beliau memanjatkan doa dan pertolongan Allah, agar hajatnya
dimakbulkan.
Pada suatu hari, semasa hendak pergi solat di Masjidilharam dengan keadaan
bertongkat, beliau terjumpa seekor kucing yang kurus, comot, lemah dan lapar.
Apabila kucing itu hendak bangun berjalan, ia jatuh berkali-kali. Kasihan nian
wanita tua itu melihat makhluk Allah itu menderita dan sengsara di kota suci
Makkah.
Lantas diambilnya kucing itu, diurutnya tubuhnya yang lemah itu. Dibelikan
sebungkus nasi berlauk dan diberikan minum air zam-zam yang murni.
Dengan takdir Allah, kucing itu pulih dan sihat. Kucing itu telah menggesel
kaki Muslimah tadi, lalu menjilat kedua-kedua tapak kakinya. Ajaib sungguh,
kaki dan lututnya yang sakit tadi, tiba-tiba menjadi sihat dan kuat, seperti
orang muda.
Muslimah tua tadi dapat tawaf sebanyak-banyaknya, ikut suka hatinya.
Tertunailah hajat yang terbuku di hatinya selama ini, berkat menolong seekor
kucing di Makkah yang mulia itu..
Setelah tawaf wida (selamat tinggal) dan menziarahi Masjid Nabawi, hajah yang
solihah tadi berserta rombongannya bersiaplah untuk pulang ke Malaysia.
Sewaktu hendak menaiki tangga pesawat di Jeddah, Muslimah tua tadi terlopong
melihat seekor kucing yang mirip kucing yang ditolongnya sewaktu di Makkah
dulu.
Kucing itu duduk di sisi tangga pesawat itu sambil matanya merenung sayu
padanya. Apabila Muslimah tadi sampai ke anak tangga teratas, kucing tadi
ghaiblah daripada pandangannya.
Demikianlah ganjaran dan berkat orang yang mengasihi kucing, seperti Nabi kita
s.a.w. mengasihinya di dunia ini, lebih-lebih besarlah pahala menunggunya di
alam akhirat nanti. Amin.